SYAWAL merupakan bulan kemenangan bagi orang yang berjaya menghayati
Ramadhan. Hari kemenangan atau hari raya, itu adalah anugerah Allah buat
hamba-Nya yang bersyukur. Seterusnya orang yang berjaya, akan menerima anugerah
daripada Allah SWT di Akhirat kelak.
Apakah augerah-anugerah tersebut? Rasulullah SAW telah bersabda yang
maksudnya:
"Hendaklah kamu bersungguh-sungguh pada hari raya Fitri ini
melakukan sedekah, melakukan segala bentuk kebaikan dan kebajikan seperti
melakukan sembahyang, berzakat, bertasbih, bertahlil kerana sesungguhnya hari
ini adalah hari yang Allah mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah SWT melihat
pada kamu dengan rahmat."
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Apabila tiba hari raya Fitrah, Allah SWT telah mengutuskan para
malaikat, maka mereka pun turun di seluruh negeri, di seluruh pelusuk dunia.
Maka mereka pun berkata: Wahai umat Muhammad hendaklah kamu keluar kepada Tuhan
yang Maha Pemurah. Maka apabila mereka umat-umat Muhammad itu keluar kepada
tempat solat mereka, lantas Allah SWT berfirman: Hendaklah kamu saksikan wahai
para malaikat-Ku. Sesungguhnya Aku telah jadikan pahala mereka itu di atas
puasa mereka sebagai keredhaan-Ku dan keampunan dari-Ku."
Daripada dua hadis ini, kita dapat tahu bahawa anugerah Allah kepada mereka
yang beijaya menempuh peperiksaan Ramadhan ialah kedatangan Syawal yang membawa
beberapa manfaat di antaranya:
1. Dapat keampunan dari Allah SWT.
2. Doanya diterima Allah SWT.
3. Allah memberi rahmat kepadanya.
4. Dia mendapat keredhaan Allah SWT.
Anugerah-anugerah ini adalah anugerah yang paling besar untuk seseorang
mukmin. Apabila mereka mendapat anugerah-anugerah ini bermakna mereka mendapat
jaminan segala amalannya diterima oleh Allah, jaminan kebahagiaan di dunia dan
di Akhirat, keselamatan di dunia dan Akhirat, dan bantuan Allah di dunia dan di
Akhirat. Merekalah orang-orang yang bertaqwa.